ISU BAHASA INGGERIS
Penggunaan Bahasa Inggeris di negara ini telah lama diperkatakan
dan baru-baru ini dibangkitkan lagi. Ada pembesar negara telah
menyuarakan dengan panjang lebar berhubung dengan kelemahan penggunaan Bahasa
Inggeris dalam negara ini. Seorang menteri persekutuan pula telah
bersuara supaya ‘English Medium School’ dikembalikan semula.
Para nasionalis pula mendesak supaya diadakan sekolah satu aliran sahaja
dengan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Mereka ini
mengambil contoh negara- negara Asia dan Eropah dimana dasar pelajaran
negara-negara ini mantap dengan menggunakan bahasa ibunda masing-masing.
Penggunaan Bahasa Melayu di sekolah-sekolah telah bermula sejak lebih dari
50 tahun, tetapi hingga ke hari ini tidak
berjaya untuk dilaksanakan sepenuhnya hingga ke peringkat
universiti.
Ramai yang mempertikaikan kemampuan Bahasa Melayu untuk bersaing
di persada global. Saya ingin berkongsi
pengalaman saya dimana saya pernah mengikuti kursus di negara China, Jepun,
Korea dan Hungary. Kursus-kursus tersebut dijalankan dengan menggunakan bahasa
ibunda mereka dengan menyediakan penterjemah. Bahan-bahan kursus pula diterjemahkan
dari bahasa mereka ke Bahasa Inggeris. Saya juga dimaklumkam bahawa kebanyakan
pengurus kanan dalam pelbagai sektor di negara tersebut fasih berbahasa
Inggeris. Untuk
melaksanakan satu sistem persekolahan hingga ke peringkat
universiti dengan menggunakan bahasa Bahasa Melayu sahaja, segala
sumber hendaklah lengkap, dan kerajaan mesti lah bertegas dan
tidak akan tunduk dengan sebarang ugutan daripada mana-mana pihak.
Jika dilaksanakan satu sistem iaitu Bahasa Inggeris pula
kerajaan terpaksalah menghadapi masalah tenaga pengajar dan juga tekanan
daripada ahli politik dan para nasionalis. Kebanyakan IPT di negara ini
menggunakan Bahasa Inggeris tetapi malangnya ramai yang sukar untuk
menguasainya. Apabila keluar dari universiti, mereka menghadapi
masalah untuk mendapatkan pekerjaan. Kerajaan telah mengambil
langkah untuk memperkasakan Bahasa Inggeris bermula dari sekolah
rendah dan mewajibkan pelajar- pelajar mengambil peperiksaan
MUET semasa di IPT tetapi hasilnya masih kurang memuaskan.
Bahasa Inggeris yang diajar antara salah satu matapelajaran di IPT juga kurang
efektif kerana pelajar-pelajar lebih menumpukan kepada ‘core subjects’.
Asas yang kuat dalam Bahasa Inggeris sangatlah penting bagi
pelajar yang memasuki IPT kerana mereka
inilah yang akan menjadi pemimpin dan juga ketua dalam
pelbagai sektor kelak. Bahasa Inggeris adalah bahasa
sains,teknologi dan perdagangan. Maka golongan inilah yang sepatutnya
diberi lebih tumpuan untuk menguasai Bahasa Inggeris. Kita tidak
boleh bandingkan dengan negara Singapura yang mempunyai bilangan penduduk yang
kecil dan Bahasa Inggeris telah di laksanakan keseluruhannya dari awal lagi.
Mereka bermula dengan langkah yang betul dan berjaya melaksanakan Bahasa
Inggeris di semua peringkat. Dasar pelajaran negara kita mempunyai
identiti sendiri dan hanya sesuai untuk negara kita yang mempunyai pelbagai
kaum serta latar belakang yang berbeza.
Mereka yang hanya belajar hingga ke peringkat SPM
sahaja sudah cukuplah asas Bahasa Inggeris yang dipelajari di
sekolah-sekolah. Terpulanglah kepada usaha dan kerajinan sendiri untuk
menggunakannya. Mereka ini terdiri daripada golongan pekerja
dan bukan pentadbir atau golongan pengurusan. Walau bagaimanapun adalah
tidak adil jika kita memandang rendah terhadap tahap penguasaan Bahasa Inggeris
mereka ini. Sebagai contoh, ahli sukan yang bercakap
‘broken English’ apabila ditemuramah oleh media baru-baru ini.
Kalau ahli sukan dari Jepun dan China boleh menggunakan jurubahasa,
apa salahnya wakil negara kita menggunakan
jurubahasa juga. Kita hendak menunjukkan yang kita telah
mendapat pencapaian terbaik tetapi malangnya menjadi bahan ketawa pula! Sama
juga dengan pemimpin-pemimpin kita yang lemah berbahasa Inggeris yang
memberi ucapan dalam persidangan antarabangsa, sepatutnya mereka
menggunakan bahasa sendiri dan menyediakan seorang penterjemah.
Pelaksanaan dasar pelajaran kita sentiasa berubah-ubah mengikut kehendak
politik. Bekas Perdana Menteri kita Tun Mahathir telah menyedari akan kelemahan
graduan-graduan kita berbahasa Inggeris. Maka dilaksanakan Bahasa
Inggeris untuk subjek sains dan matematik (PPSMI). Ramai yang
menyokong tindakan ini dan banyak belanja telah dikeluarkan.
Malangnya kuasa politik juga telah membantutkan usaha Tun Mahathir
tersebut.
Mungkin telah ada kajian yang dibuat berhubung dengan kelemahan
berbahasa Inggeris dalam kalangan pelajar-pelajar. Memang tidak boleh
dinafikan bahawa kelemahan berbahasa Inggeris disebabkan faktor
persekitaran dan penggunaan seharian. Apa yang saya tahu pelajar-pelajar
yang akan ke luar negara dibawah tajaan kerajaan dihantar ke institusi
swasta untuk menghadiri kursus intensif Bahasa Inggeris selama beberapa
bulan. Kalau cara ini kita boleh meningkatkan penguasaan Bahasa
Inggeris bolehlah dilaksanakan dengan mengadakan kelas persediaan
untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris selama satu tahun atau
setengah tahun sebelum memasuki IPT. Cara ini akan dapat mewujudkan satu
persekitaran di mana pelajar-pelajar boleh berkomunikasi dalam
Bahasa Inggeris tiap-tiap hari.
Pernah berlaku pada zaman 60 an
dahulu dimana pelajar-pelajar tingkatan satu dari aliran melayu
di letakkan di kelas peralihan (remove class) selama satu tahun untuk belajar
Bahasa Inggeris sebelum memasuki tingkatan satu di
sekolah Inggeris. Pernah juga 'remove class’ semacam ini diadakan untuk
aliran melayu sekolah vokasional selama satu tahun
sebelum memasuki tingkatan empat di sekolah teknikal
aliran inggeris.
Sistem pelajaran yang bertukar-tukar disebabkan campur
tangan politik dan juga tekanan daripada pelbagai pihak akan
mencacatkan Dasar Pelajaran Kebangsaan. Isu bahasa sangatlah
sensitif dan tidak akan berakhir jika tidak ada semangat toleransi
dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Apa yang perlu ialah
generasi masa depan akan terus mendapat pelajaran terbaik yang boleh
memenuhi keperluan negara serta boleh bersaing di persada global. Di
samping itu Bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda penduduk-penduduk di Tanah
Melayu hendaklah dipertahankan supaya tidak dipinggirkan.
My Elusive Dreams
Ir. Ghazali Ibrahim