Friday, December 1, 2017

ISU BAHASA INGGERIS

Penggunaan  Bahasa Inggeris di negara ini telah lama diperkatakan dan baru-baru ini dibangkitkan lagi. Ada pembesar  negara telah menyuarakan dengan panjang lebar berhubung dengan kelemahan penggunaan Bahasa Inggeris  dalam negara ini. Seorang menteri persekutuan pula telah bersuara supaya ‘English Medium School’ dikembalikan semula. 

Para nasionalis pula mendesak supaya diadakan sekolah satu aliran sahaja dengan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Mereka ini mengambil contoh  negara- negara Asia dan Eropah dimana dasar pelajaran negara-negara ini  mantap dengan menggunakan bahasa ibunda masing-masing. Penggunaan Bahasa Melayu di sekolah-sekolah telah bermula sejak lebih dari 50 tahun, tetapi hingga  ke hari ini  tidak berjaya  untuk dilaksanakan  sepenuhnya hingga ke peringkat universiti. 

Ramai yang mempertikaikan kemampuan Bahasa Melayu untuk bersaing di persada global.  Saya ingin berkongsi pengalaman saya dimana saya pernah mengikuti kursus di negara China, Jepun, Korea dan Hungary. Kursus-kursus tersebut dijalankan dengan menggunakan bahasa ibunda mereka dengan menyediakan penterjemah. Bahan-bahan kursus pula diterjemahkan dari bahasa mereka ke Bahasa Inggeris. Saya juga dimaklumkam bahawa kebanyakan pengurus kanan  dalam pelbagai sektor di negara tersebut fasih berbahasa Inggeris. Untuk  melaksanakan  satu sistem persekolahan  hingga ke peringkat universiti  dengan  menggunakan bahasa Bahasa Melayu sahaja, segala sumber hendaklah lengkap, dan  kerajaan mesti lah bertegas dan tidak akan tunduk dengan sebarang ugutan daripada mana-mana pihak.

Jika  dilaksanakan satu sistem iaitu Bahasa Inggeris pula  kerajaan terpaksalah menghadapi masalah tenaga pengajar dan juga tekanan daripada ahli politik dan para nasionalis. Kebanyakan IPT di negara ini menggunakan Bahasa Inggeris tetapi malangnya ramai yang  sukar untuk menguasainya. Apabila keluar dari universiti, mereka menghadapi masalah untuk  mendapatkan  pekerjaan. Kerajaan telah mengambil langkah untuk memperkasakan Bahasa Inggeris bermula dari sekolah rendah dan mewajibkan pelajar- pelajar mengambil  peperiksaan  MUET  semasa di IPT tetapi  hasilnya masih kurang memuaskan. Bahasa Inggeris yang diajar antara salah satu matapelajaran di IPT juga kurang efektif kerana pelajar-pelajar lebih menumpukan kepada ‘core subjects’.

Asas yang kuat dalam Bahasa Inggeris sangatlah  penting bagi pelajar yang memasuki  IPT  kerana mereka inilah yang akan menjadi pemimpin dan juga ketua dalam pelbagai sektor kelak. Bahasa Inggeris adalah bahasa sains,teknologi dan perdagangan. Maka golongan inilah yang sepatutnya diberi lebih tumpuan untuk menguasai Bahasa Inggeris. Kita tidak boleh bandingkan dengan negara Singapura yang mempunyai bilangan penduduk yang kecil dan Bahasa Inggeris telah di laksanakan keseluruhannya dari awal lagi. Mereka bermula dengan langkah yang betul  dan berjaya melaksanakan Bahasa Inggeris  di semua peringkat. Dasar pelajaran negara kita mempunyai identiti sendiri dan hanya sesuai untuk negara kita yang mempunyai pelbagai kaum serta latar belakang  yang berbeza.

 Mereka yang  hanya belajar hingga ke peringkat  SPM sahaja  sudah cukuplah asas Bahasa Inggeris yang dipelajari di sekolah-sekolah. Terpulanglah kepada usaha dan kerajinan sendiri untuk menggunakannya. Mereka ini  terdiri daripada golongan pekerja dan  bukan pentadbir atau golongan pengurusan. Walau bagaimanapun adalah tidak adil jika kita memandang rendah terhadap tahap penguasaan Bahasa Inggeris mereka  ini. Sebagai contoh,  ahli sukan yang  bercakap ‘broken English’ apabila ditemuramah  oleh  media baru-baru ini. Kalau ahli sukan dari Jepun dan China boleh menggunakan jurubahasa, apa salahnya wakil  negara kita menggunakan jurubahasa  juga. Kita hendak menunjukkan yang kita telah mendapat pencapaian terbaik tetapi malangnya menjadi bahan ketawa pula! Sama juga dengan pemimpin-pemimpin kita yang  lemah berbahasa Inggeris yang memberi ucapan dalam persidangan antarabangsa, sepatutnya mereka menggunakan bahasa sendiri  dan menyediakan seorang penterjemah.

Pelaksanaan dasar pelajaran kita sentiasa berubah-ubah mengikut kehendak politik. Bekas Perdana Menteri kita Tun Mahathir telah menyedari akan kelemahan graduan-graduan kita berbahasa  Inggeris. Maka dilaksanakan Bahasa Inggeris untuk subjek sains dan matematik (PPSMI). Ramai yang menyokong tindakan ini dan banyak belanja  telah dikeluarkan. Malangnya  kuasa politik juga telah membantutkan usaha Tun Mahathir tersebut.

Mungkin telah ada kajian yang dibuat berhubung dengan kelemahan  berbahasa Inggeris dalam kalangan pelajar-pelajar. Memang tidak boleh dinafikan bahawa kelemahan berbahasa Inggeris  disebabkan faktor persekitaran dan penggunaan seharian. Apa yang saya tahu  pelajar-pelajar yang akan ke luar negara  dibawah tajaan kerajaan dihantar ke institusi swasta untuk menghadiri kursus intensif  Bahasa Inggeris selama beberapa bulan. Kalau cara ini kita boleh meningkatkan penguasaan  Bahasa Inggeris bolehlah dilaksanakan dengan mengadakan kelas persediaan untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris  selama satu tahun atau setengah tahun sebelum memasuki IPT. Cara ini akan dapat mewujudkan satu  persekitaran di mana pelajar-pelajar  boleh berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris tiap-tiap hari.

Pernah berlaku pada zaman 60 an dahulu dimana pelajar-pelajar  tingkatan satu dari aliran melayu di letakkan di kelas peralihan (remove class) selama satu tahun untuk belajar  Bahasa Inggeris sebelum memasuki  tingkatan satu di sekolah Inggeris. Pernah juga 'remove class’ semacam  ini diadakan untuk aliran melayu sekolah vokasional selama satu tahun sebelum memasuki  tingkatan empat di sekolah teknikal aliran inggeris.

Sistem pelajaran yang bertukar-tukar  disebabkan  campur tangan  politik dan juga tekanan daripada  pelbagai pihak akan mencacatkan Dasar Pelajaran Kebangsaan. Isu  bahasa  sangatlah  sensitif dan tidak akan berakhir jika tidak ada semangat  toleransi dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Apa yang perlu ialah generasi  masa depan akan terus mendapat pelajaran terbaik yang boleh memenuhi keperluan negara serta boleh bersaing di persada  global. Di samping itu Bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda penduduk-penduduk di Tanah Melayu  hendaklah dipertahankan supaya tidak dipinggirkan.




My Elusive Dreams

Ir. Ghazali Ibrahim





I SU BAHASA INGGERIS Penggunaan  Bahasa Inggeris di negara ini telah lama diperkatakan dan baru-baru ini dibangkitkan lagi. Ada pembesa...